CINTA SEORANG SAHABAT
Oleh :
Hafis Syahroni Caniago
Sumber : http://islamic4lovers.wordpress.com/author/permatasyurga/page/7/
-Malay style-
Assalamualaikum, apa khabar
semua? Apa khabar iman anda? Alhamdulillah, saya diberi lagi kesempatan olehNya
untuk menggerakkan jemari menekan papan kekunci. Syukur pada Allah. Kali ini
saya mahu berbicara mengenai cinta kerana Allah. Cinta atas ikatan persaudaraan. Ukhuwwah. Bila bercakap
mengenai ukhuwah, apa yang terbayang di fikiran anda? Mesti sahabat anda, atau
kawan chatting anda atau sesiapa sahaja yang anda rasa senang bersamanya. Betul
tak? Bila sebut ukhuwah, selalunya orang akan terfikir sahabat baik. Anda semua
ada sahabat baik? Pernah tak anda bergaduh dengan sahabat baik anda? Kalau
tidak, saya ucapkan tahniah! Kalau ya pun saya ucapkan tahniah kerana walaupun
ada pelbagai rintangan sehingga menimbulkan pergaduhan, hingga kini dia masih
sahabat baik anda! Tahniah!
Kita mungkin pernah terdengar
orang mengatakan ‘Hanya yang terbaik sahaja layak jadi sahabat aku’ atau ‘Aku
nak uji dia boleh tahan tak jadi sahabat aku’ tetapi kita lupa sahabat juga
manusia. Macam kita. Kita ada buat salah, sahabat kita juga mungkin akan buat
kesalahan. Kalau semua nak yang terbaik atas alasan dirinya bukan terbaik,
sampai kapanpun takkan terwujud persahabatan itu.
Yalah, nobody is perfect! Kita jangan fikir dia sebagai sahabat kita, dia
sepatutnya itu dan ini sebaliknya fikirkanlah ‘aku sebagai sahabat dia sudahkah
aku menjadi sahabat yang baik untuknya? Sudahkah aku sampai ke tahap ithar –
tahap tertinggi dalam ukhuwah?’ Perkara yang penting dalam persahabatan ialah
DON’T BE SELFISH. Lawan kepada Ithar. Ramai yang mengatakan dia sahabat baik
aku atau kami BFF tapi dalam masa yang sama, ketika susah dirinya diutamakan.
Atau ketika dirinya mendapat kesenangan, sahabatnya dilupakan. Jangan begitu!
Pernah dengar tak satu kisah tentang sikap sahabat yang lebih mengutamakan orang
lain? Pernah dengar tak kisah sahabat yang melebihkan sahabatnya di perang
yarmouk padahal dirinya amat memerlukan segelas air? Cuba bayangkan, tengah
bertarung dengan maut, tiba-tiba tekak berasa dahaga. Bila air tiba, terdengar
pula sahabat di sebelah meminta air kemudian air yang begitu didambakan
diberikan kepada sahabat itu. Cuba bayangkan. Dalam peritnya menanggung
kesakitan, orang lain lebih diutamakan. Sehingga diragut nyawanya, setitis air
pun tidak dapat melalui kerongkongnya yang perit menanggung dahaga.
Subhanallah! Besarnya pengorbanan sahabat itu! Kalau kita, tak payah cerita
benda yang kita perlukan, benda yang kita tak inginkan pun kadang-kadang kita
tak nak sahabat kita dapat. Dengki. Belum cerita lagi barang yang paling kita
sayang. Sanggup kita bagi sahabat kita? Agak-agaknyalah, tahap mana ya ukhuwwah
kita dengan sahabat kita tu?
Kita dengar pula kisah sahabat
yang amat mencintai sahabatnya. Siapa lagi kalau bukan Saidina Abu Bakar,
sahabat yang sejati? Tahu tak, waktu peristiwa hijrah, beliau telah digigit
oleh haiwan berbisa. Tapi oleh kerana kasihkan baginda yang sedang lena,
ditahannya rasa sakit ketika bisa itu menjalar ke urat darahnya. Sampai pucat
wajah beliau. Akhirnya, air mata beliau menitis dek tidak tertanggung kesakitan
yang menjalar ke dalam tubuhnya. Sampai begitu sekali. Memang patutlah
Rasulullah mendoakan Abu Bakar sedarjat dengan baginda di akhirat kelak.
Pernah tak anda rasa cemburu
dengan sahabat anda? Contohnya dia pandai bermain bola. Anda cemburu dengannya
sehingga dalam hati anda mengharapkan dia tidak menjadi wakil sekolah. Atau
anda cemburu dengan kepintarannya dan mengharapkan dia tidak mendapat markah
tertinggi lagi di kelas. Pernah tak? Saya yakin, hampir 70% pernah
mengalaminya. Yalah, kita mungkin tak sebut di mulut, tapi hati kita
kadang-kadang berharap ada yang lebih hebat daripadanya. Jangan macam tu.
Seorang sahabat akan sentiasa gembira melihat senyuman sahabatnya. Dan apa yang
dirasakan baik untuk dirinya diharapkan akan dikurniakan kepada sahabatnya. Itulah
sahabat yang sebenar! Sahabat lebih dicintai dari dirinya sendiri. Kalau pada
diri kita, mesti kita nak yang baik-baik je kan? Betul tak?
Saya terimbau kembali kisah
yang diceritakan ustaz saya di sekolah. Bagaimana orang ansar melebihkan
sahabat mereka dari golongan Muhajirin yang langsung tidak pernah mereka kenali
sebelum ini. Ada yang sanggup bagi isteri, bagi separuh harta dan ada yang
bermurah hati memberikan tempat tinggal. Ajaib kan? Mereka tak pernah kenal
pun. Tapi tengoklah macam mana ukhuwah mereka. Kita ni dah lebih dari kenal dah
sahabat kita. Tapi alahai, susahnya nak ithar kan? Susah betul nak berikan
sahabat kita sesuatu yang lebih baik dari kita. Sifat orang Ansar ini Allah
telah maktubkan di dalam surah al-Hasyr ayat 9. “Dan orang-orang yang telah
menempati kota Madinah dan telah beriman (Anshor) sebelum (kedatangan) mereka
(Muhajirin), mereka (Anshor) mencintai orang yang berhijrah kepada mereka
(Muhajirin). Dan mereka (Anshor) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka
terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka
mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun
mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya,
mereka itulah orang orang yang beruntung .”
Sahabat yang baik akan selalu
mendoakan sahabatnya. Seorang sahabat itu terlalu istimewa dalam doa
sahabatnya. Pernah tak anda berdoa kebaikan untuk sahabat anda? Kalau dah,
alhamdulillah…Kalau belum, cepat2 doa. Biar dia dapat yang baik aje…Tu barulah
tanda sayang. Lagi satu, kalau kita sayang dia, kita kenalah ajak dia pada
kebaikan. Biar sama-sama masuk syurga. Jadi sahabat karib di sana. Bukan
seperti yang terkandung dalam firman Allah di dalam surah az-Zukhruf ayat 67.
“Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian
yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” Nauzubillah. Harap kita tak
termasuk dalam golongan yang menjadi musuh kepada sahabat sendiri. Sayang kan?
Di dunia kawan baik di akhirat jadi musuh.
Sahabat yang baik juga akan
prihatin dengan sahabatnya. Ambil berat. Tahu segala masalahnya dan berkongsi
cara menyelesaikannya. Bukannya meninggalkan sahabat terkontang-kanting
menderita sendirian. Tak baik macam tu.
Akhirul kalam, saya berpesan
kepada semua sahabat-sahabat saya agar ikhlas dalam persahabatan. Sayangilah
sahabat anda kerana ketahuilah anda sangat bertuah kerana dikurniakan Allah
seorang sahabat. Ramai lagi tau yang tak ada sahabat. Bukan semua kawan tu
sahabat kita. Hati-hati dengan kawan yang jahat dan menjauhkan anda dari Allah.
Anda yang sepatutnya menarik dia bukan dia yang menarik anda ke lorong hitam.
Kalau anda mempunyai sahabat, hargailah dia dan terima dia seadanya kerana dia
juga manusia seperti anda. Jangan bersahabat dengan dia kerana keceriannya
kerana andai dia tidak dapat menceriakan anda, anda pasti akan menyalahkannya.
Jangan pula bersahabat kerana kepintarannya kerana jika dia buntu, anda pasti
akan menjauhinya. Dan jangan sesekali bersahabat kerana kelebihannya kerana
dengan satu kelemahannya, anda mungkin menghindarinya. Pesan saya,
bersahabatlah kerana Allah, oleh itu biar tampak seribu kekurangan padanya,
persahabatan anda tidak akan terjejas kerana anda yakin kekurangannya atas
kehendak Allah.
Wallahu A’lam.
~Hamba Rabbani ~
Tidak ada komentar:
Posting Komentar